Sabtu, 25 Mac 2017

PERLUKAH KITA KEPADA PENTERJEMAHAN ?

Bismillahirrahmanirrahim....

Topik dalam kiriman kali ini ialah tentang kepentingan aktivti penterjemahan.

Umum diketahui bahawa menuntut ilmu itu merupakan salah satu kewajiban kepada kita sebagai umat Islam. Ilmu itu pula terbahagi kepada ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah. Sungguhpun begitu, menyedari hakikat bahawa ilmu itu ditulis dalam pelbagai bahasa, maka di situlah timbul satu persoalan : 

"Bagaimana untuk kita mempelajari ilmu itu sedangkan ilmu itu ditulis dalam bahasa yang tidak kita fahami ?"

Maka, jawapannya ialah : MELALUI PENTERJEMAHAN. 

Proses penterjemahan merupakan salah satu medium dan wahana pemindahan ilmu daripada sesebuah tamadun kepada tamadun yang lain. Sebagai contoh, sejarah Islam menyaksikan bahawa kota Baghdad pada era Kerajaan Abbasiyyah telah menempa nama sebagai sebuah metropolitan ilmu yang terkenal di seantero dunia. Apa yang menyumbang kepada pengiktirafan ini ? Kewujudan sebuah instititusi yang dinamakan sebagai BAITUL HIKMAH. 

Bertindak sebagai perpustakaan, rumah penterjemahan bahkan juga tempat para ulama dan ilmuan berdiskusi menjadikan kota Baghdad rancak dengan pelbagai diskusi ilmiah yang menyebabkan masyarakat ketika itu sibuk dan ghairah untuk menuntut ilmu pengetahuan. 



Perlu juga untuk kita ketahui bahawa, segala ilmu yang diperlajari dan diajar di Baitul Hikmah misalnya bukanlah semuanya berasal daripada bangsa Arab atau ditulis dalam tulisan Arab. Bahkan ilmu-ilmu daripada tamadun Greek, India, Parsi, Syrianic dan sebagainya telah mengalami pelbagai proses yang cukup telitli sebelum ilmu-ilmu tersebut mula disebarkan kepada masyarakat Islam. Antara proses tersebut ialah : 

  1. Penterjemahan
  2. Penyemakan
  3. Penjelasan
  4. Rumusan karya

Maka, bagi menceritakan tentang proses-proses ini, mari kita lihat contoh mengenai proses penterjemahan Kitab as-Sindh al-Hind. 

"Sebagai contoh, seorang ulama yang tersohor Muhammad al-Fazzari yang hidup pada zaman Khalifah al-Makmun telah berjaya menterjemahkan sebuah karya astronomi Hindu yang berjudul Sindh Hind. Penguasaan beliau dalam bahasa Sanskrit telah membolehkan beliau melaksanakan penterjemahan tersebut dan diserahkan kepada khalifah.
 Kemudian, Abu Musa al-Khawarizmi pula ditawarkan oleh Khalifah al-Makmun untuk meringkaskan dan menyemak hasil terjemahan yang dilakukan oleh Muhammad al-Fazzari itu. Maka, akhirnya al-Khawarizmi pula menghasilkan karya tentangnya yang berjudul as-Sindh al-Hind as-Saghir."

Maka, hasil daripada karya al-Khawarizmi inilah cabang-cabang ilmu astonomi dan metamatik India mula tersebar ke dalam masyarakat Islam di kota Baghdad dan munculah ramai tokoh astronomi dan metamatik dalam kalangan umat Islam yang tersohor kemudiannya seperti, al-Battani, al-Biruni, al-Zarqali dan sebagainya. 


RUMUSAN

Adalah perlu untuk mempergiatkan semual aktiviti penterjemahan ilmu pengetahuan asing ke dalam bahasa tempatan. Hal ini bagi mengelakkan kebergantungan kita kepada hasil terjemahan asing yang sudah tentu tidak sama dengan konteks dan kefahaman masyarakat tempatan. Maka, di situ munculah apa yang dinamakan sebagai etnomatematik sebagai contohnya yang merupakan satu disiplin ilmu untuk mengkaji falsafah ilmu matematik mengikut sesebuah kaum dan etnik yang tertenu. Akhirnya, ilmu itu dapat dimanfaatkan bagi kebaikan masyarakat dan negara. 

Wallahua'lam. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan